Gusi bengkak

Gusi bengkak, sakit dan berdarah atau dalam istilah perubatan dipanggil ‘Gingivitis’ merupakan penyakit yang akan mengakibatkan keradangan pada gusi sekaligus menjadikannya bengkak. Sekiranya berlarutan, ia akan merosakkan tisu serta tulang penyokong gigi. Kes ini dipanggil ‘Periodontitis’. Periodontitis terjadi apabila keradangan telah terkena pada struktur lain selain gusi.

Antara tanda-tanda penyakit gusi adalah:

  • Mulut berbau
  • Gusi mudah berdarah, merah, bengkak dan sakit
  • Gigi longgar
  • Gusi menurun sehingga gigi nampak panjang dan lain-lain lagi

Faktor menyebabkan gusi bengkak adalah:

  • Kebersihan mulut tidak terjaga.
  • Pemakaian pendakap gigi. Ia memberikan tekanan pada gusi sekiranya ia dipasang berdekatan gigi dan menyebabkan gusi menjadi bengkak.
  • Merokok
  • Masalah kesihatan seperti diabetes (kencing manis)
  • Kehamilan dan perubahan hormon wanita
  • Amalan pemakanan yang tidak sihat sebagai contoh makanan yang bergula.
  • Kekurangan vitamin juga boleh mendorong ke arah gusi bengkak. Vitamin yang paling penting untuk menjamin kesihatan gusi ialah vitamin C. Penyakit kekurangan vitamin C dipanggil sebagai ‘Scurvy”.
  • Jangkitan kuman menyebabkan pengumpulan nanah dalam gigi, gusi ataupun tulang yang memegang gigi.

Rawatan sesuai untuk gusi bengkak:

Gingivitis merupakan penyakit gusi yang kurang serius. Gingivitis boleh pulih sendiri dan biasanya dapat disembuhkan dengan pemberusan setiap hari, menggunakan flos serta pemeriksaan dan pembersihan secara berkala oleh doktor pergigian. Penyakit gusi jenis ini tidak mengakibatkan kehilangan gigi atau tisu yang memegang gigi.

Tujuan utama rawatan penyakit gusi adalah mencegah berlakunya jangkitan. Terdapat pelbagai jenis rawatan mengikut peringkat penyakit gusi. Selain itu, cara hidup juga perlu diubah seperti menghentikan penggunaan tembakau untuk membantu proses pemulihan.

Penskaleran (cuci gigi) akan dilakukan dan kebanyakan pesakit tidak memerlukan rawatan aktif selanjutnya.

Pembedahan akan dilakukan apabila periodontium semakin teruk.

Rawatan periodontal tanpa pembedahan, termasuk penskaleran dan ‘root planing’ (suatu cara membersih permukaan akar untuk membuang plak dan kalkulus dari poket periodontal dan melicinkan akar gigi). Pembedahan ini diikuti dengan rawatan tambahan seperti anti microbials yang diperlukan dalam kes-kes biasa.

Rujukan https://www.doctoroncall.com.my/