Pemeriksaan Gigi

Pemeriksaan gigi penting untuk mengetahui tahap kesihatan mulut anda dan menangani masalah pergigian sementara ia masih kecil.

Semasa temujanji pemeriksaan gigi, doktor gigi akan:

  • Memeriksa gigi, gusi dan mulut anda
  • Bertanya tentang perubahan berkaitan dengan kesihatan gigi, gusi dan mulut anda sejak pemeriksaan terakhir.
  • Bertanya tentang kesihatan badan. Jika seseorang menghidap penyakit sistemik seperti diabetes, kardiovaskular, perdarahan; mereka berisiko mempunyai masalah gigi.

 

  • Bertanya dan memberi nasihat tentang diet, pengambilan alkohol dan rokok serta amalan pembersihan gigi (memberus, memflos gigi, penggunaan ubat kumur dan sebagainya).
  • Berbincang tentang rawatan yang perlu anda terima sekiranya perlu.
  • Menetapkan tarikh temu janji atau pemeriksaan yang akan datang.
  • Setelah melakukan pemeriksaan, doktor anda akan dapat menilai tahap kesihatan pergigian anda. Seterusnya beliau akan mencadangkan kekerapan pemeriksaan pergigian yang sesuai bagi anda.

Sekiranya tahap kesihatan pergigian anda kurang baik anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lebih kerap sama ada 3 bulan atau 6 bulan.  

Mengetahui dan mengesan masalah gigi di peringkat awal boleh menyelamatkan anda daripada penyakit yang serius seperti kanser mulut.

Anda mungkin tidak mengetahui bahawa anda sedang menghadapi masalah kerana tanda-tanda tersebut biasanya tersembunyi.