3. Gigi Sensetif

Gigi sensetif

Gigi sensitif adalah rasa tidak selesa atau sakit seperti ngilu apabila terkena makanan atau minuman panas, sejuk, manis dan masam serta angin dingin.

Gigi sensitif berlaku apabila lapisan luar yang melindungi gigi, iaitu enamel terhakis hingga menyebabkan pendedahan lapisan dentin. Dentin terdiri daripada lubang-lubang kecil yang dipanggil tubul. Di hujung tubul-tubul ini terkandung cabang saraf yang berasal dari pulpa gigi (pusat saraf gigi).

Rasa ngilu atau sakit dirasakan apabila lapisan dalam gigi iaitu lapisan dentin (disebabkan gusi yang menyusut) terdedah kepada:

  • Pengambilan makanan atau minuman panas, sejuk, manis atau masam.
  • Memberus gigi.
  • Bernafas melalui mulut.
  • Kesakitan yang dirasai adalah bersifat tajam dan seketika.

Punca gigi sensitif boleh dikaitkan dengan faktor berikut:

  • Memberus gigi terlalu kuat dengan teknik yang salah sehingga mencederakan gusi dan mendedahkan akar gigi. Memberus gigi dengan cara mendatar boleh mengakibatkan kengiluan gigi.
  • Penyakit gusi, iaitu penyakit yang menyerang gusi dan tulang yang menyokong gigi juga boleh menyebabkan gigi sensitif.  Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penyusutan struktur tulang dan gusi seterusnya menyebabkan pendedahan akar gigi.
  • Pendedahan lapisan dentin yang disebabkan oleh kehausan permukaan gigi yang berlaku secara aktif.
  • Mengetap dan mengasah gigi boleh menghakis lapisan enamel dan mendedahkan lapisan dentin
  • Memakan makanan dan minuman yang berasid dengan kerap, seperti buah-buahan dan jus yang masam, serta minuman bergas yang boleh menyebabkan hakisan lapisan permukaan gigi.
  • Gigi berlubang yang tidak dirawat
  • Tampalan lama pada gigi yang telah retak atau renggang.
  • Pendedahan akar gigi daripada pembedahan gusi. Proses pemutihan gigi juga boleh menyebabkan gigi sensitif.

Rawatan untuk gigi sensitif:

  • Gunakan ubat gigi khusus untuk gigi sensitif. Ubat gigi ini mengandungi bahan-bahan yang menyekat sensasi yang datang dari permukaan gigi ke saraf gigi.nKandungan garam potassium, kalsium posfat, garam strontium dan fluorida yang terdapat di dalam ubat gigi ini berkesan dalam menolong mencegah dan melindungi gigi dari kesakitan gigi sensitif.
  • Berjumpa doktor gigi. Rawatan akan diberikan bergantung kepada punca gigi sensitif. Agen penyah-sensitif atau jel fluorida mungkin akan disapukan ke kawasan gigi yang terlibat.
  • Tampalan juga boleh dilakukan pada kawasan akar gigi terdedah yang mengalami gigi sensitif. Jika gigi telah pecah atau berlubang besar, tampalan dan seterusnya rawatan korona mungkin perlu dijalankan.

Sumber rujukan: Kementerian Kesihatan Malaysia