Nafas Berbau
Apa itu Nafas berbau ?
Nafas berbau atau dalam istilah perubatan ialah halitosis, merujuk kepada bau mulut yang tidak menyenangkan disebabkan oleh jenis pengambilan makanan atau penyakit.
Kebiasaannya nafas berbau hanya pada waktu tertentu sahaja seperti selepas bangun tidur. Namun, sekiranya masalah ini berpanjangan, anda mesti berjumpa doktor pergigian untuk pemeriksaan.

Nafas berbau mungkin disebabkan oleh :
- Kebersihan mulut yang tidak memuaskan. Jika anda tidak memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari selama 120 saat setiap kali, anda mungkin berisiko menghidap nafas berbau. Anda harus memberus lidah juga kerana lidah membawa bau makanan yang terperangkap di celah-celah gigi.
- Kerosakan gigi (karies gigi)
- Penyakit gusi (periodontium)
- Makanan melekat di celah gigi
- Gigi palsu yang tidak bersih
- Bau mulut ketika bangun tidur
- Mulut kering. Rawatan perubatan dan ubat tertentu boleh menyebabkan mulut menjadi kering kerana kekurangan air liur (xerostomia) Air liur bertanggunjawab untuk membersihkan sel-sel penyebab bau di dalam mulut.
- Tabiat bernafas melalui mulut. Mereka yang bernafas melalui mulut (mouth breather) akan menyebabkan angin yang dihasilkan akan mengeringkan mulut
- Melangkau waktu makan: Melangkau waktu makan boleh membuatkan nafas anda berbau. Ia terjadi disebabkan oleh kekurangan perembesan air liur. Menurut American Dental Association, orang yang berdiet boleh mengalami halitosis jika mereka tidak makan dengan kerap. Untuk mengelakkan ini, cuba makan mengikut waktu sekurang-kurangnya 3-4 jam setiap kali.
- Memakan makanan atau minuman yang mempunyai bau yang kuat seperti bawang putih, kopi, tembakau, minuman alkohol.
- Keadaan kesihatan juga boleh menyebabkan mulut berbau. Antaranya ialah diabetes, penyakit hati, keradangan atau jangkitan di bahagian tekak, jangkitan di paru-paru dan penyakit salur alimentari atau pemakanan (esofagus dan perut).

Cara menangani nafas berbau?
- Memberus gigi, menggunakan flos, menggunakan bahan kumuran serta bersihkan lidah menggunakan berus gigi atau tongue scraper
- Jika memakai aplians ortodontik atau gigi palsu, anda perlu menjaga kebersihan peralatan tersebut
- Awasi diet dengan minum banyak air dan kurangkan minum minuman yang mengandungi kafein
- Elakkan tabiat yang tidak sihat seperti merokok atau minum alkohol
- Dapatkan pemeriksaan pergigian secara berkala
- Memeriksa gigi anda jika terdapat tanda-tanda penyakit gusi dan tulang (gingivitis, periodontal problem)