3. Rawatan Akar

Rawatan Akar

Sakit gigi berpanjangan ialah salah satu tanda masalah akar.

Ramai individu merasakan rawatan akar ialah sesuatu rawatan yang amat menyakitkan dan membayangkan gusi akan ‘dirobek’ untuk membaiki akar gigi yang bermasalah itu.

Rawatan saluran akar atau root canal treatment (RCT) adalah rawatan alternatif bagi gigi yang telah rosak. Ia merupakan prosedur pergigian membabitkan pembersihan saluran akar daripada bakteria dan kerosakan pada pulpa serta akar gigi.

Gigi mempunyai lapisan enamel di luar, lapisan kedua dentin dan teras dalam lembut yang memanjang ke akar dalam tulang rahang. Ia mengandungi pulpa gigi yang terdiri daripada saraf, saluran darah dan tisu penghubung. Apabila bakteria masuk dalam teras lembut, pulpa boleh menjadi radang atau mati.

Dalam rawatan akar, doktor gigi akan mengekstrak bakteria dan pereputan daripada pulpa gigi, akar dan saraf.  Doktor juga akan membasmi kuman pada kawasan terlibat dengan antibiotik, mengisi akar yang kosong dan tutup bahagian berkenaan untuk mengelakkan pereputan.

Rawatan saluran akar dapat membantu mengekalkan gigi asli dan menghalang proses kerosakan daripada berterusan. Namun, gigi akan menjadi sedikit rapuh berbanding kekuatan asal gigi asli yang sihat. Oleh sebab itu, gigi yang melalui proses RCT sering memerlukan rawatan crown.

Tanda-tanda anda memerlukan rawatan akar:

  • Sakit yang berterusan. Berdenyut-denyut jauh dalam tulang gigi atau mungkin merasakan sakit pada muka, rahang atau pada kawasan gigi yang lain.
  • Sensitiviti kepada haba dan sejuk. Rasa sakit yang tajam atau ngilu. Jika kesakitan itu berterusan, anda mungkin memerlukan rawatan saluran akar. Sensitiviti ini merupakan tanda bahawa saluran darah dan saraf dalam gigi dijangkiti atau rosak.
  • Perubahan warna gigi. Jangkitan pada pulpa gigi anda boleh menyebabkan gigi anda berubah warna. Namun, perubahan warna gigi boleh disebabkan oleh faktor lain, anda digalakkan untuk berjumpa doktor gigi jika menyedari gigi anda berubah warna.
  • Gusi bengkak. Gusi bengkak berhampiran kawasan gigi yang sakit.
  • Sakit apabila anda makan atau menyentuh gigi. Ini mungkin menunjukkan kerosakan gigi yang teruk atau kerosakan saraf.
  • Gigi patah atau retak
  • Gigi bergoyang. Gigi akan menjadi longgar apabila ia dijangkiti. Ia boleh disebabkan oleh faktor lain selain nekrosis pulpa (kematian saraf), tetapi ia boleh menjadi tanda bahawa saluran akar diperlukan.

Kesan sekiranya rawatan salur akar tidak dilakukan:

  • Ketidakselesaan atau kesakitan akan bertambah teruk
  • Jangkitan atau nanah akan terjadi pada gigi
  • Gigi mungkin terpaksa dicabut dan kebiasaannya kehilangan gigi memerlukan penggantian