Ganti gigi yang hilang
Kehilangan gigi boleh mendatangkan banyak kesulitan kepada individu. Sebagai contoh sukar untuk mengunyah makanan, berlaku pergerakan antara gigi, juga merendahkan keyakinan diri. Kehilangan gigi ini biasanya bermula pada kanak-kanak berusia enam tahun. Situasi ini terjadi di mana gigi susu akan tanggal bagi memberi ruang kepada gigi kekal untuk tumbuh.
Namun menjadi permasalahan apabila orang dewasa boleh mengalami kehilangan gigi kekal kerana beberapa sebab.
Punca kehilangan gigi:
- Cabutan yang disebabkan oleh masalah pergigian (karies gigi atau penyakit gusi)
- Trauma atau kecederaan
- Tiada pembentukan gigi kekal atau gigi gagal tumbuh selepas gigi susu tanggal
- Dicabut untuk rawatan ortodontik
Tidak semua orang menghadapi masalah dengan kehilangan gigi. Ianya bergantung kepada bilangan gigi yang hilang dan kedudukannya di dalam mulut. Ia mungkin tidak memberi kesan atau impak yang penting semasa makan.Tetapi dalam sesetengah kes, ianya amat memberi kesan dari segi kosmetik atau fungsi yang mendorong individu itu mendapatkan rawatan bagi menggantikan kehilangan gigi tersebut.
Rawatan untuk ganti gigi:
Kehilangan gigi boleh diganti dengan beberapa cara dengan mempertimbangkan kos, tempoh ketahanan, keselesaan, estetik, serta kesan terhadap gigi bersebelahan dan tisu mulut yang lain.Antara cara rawatan gigi ini adalah:
- Tidak perlu penggantian
- Dentur sebahagian (boleh tanggal)
- Jambatan tetap
- Implan pergigian
Tidak Perlu Penggantian
Tidak semua kehilangan gigi perlu diganti. Ia bergantung kepada gigi apa dan kedudukanya di dalam mulut. Jika kehilangan gigi tidak memberi kesan kepada fungsi dan estetik, maka tiada gantian merupakan pilihan terbaik. Contohnya kehilangan gigi molar ketiga (geraham bongsu) tidak menyebabkan fungsi kunyahan terjejas serta tiada memberi kesan kepada senyuman dan struktur muka yang lain. Kehilangan gigi molar kedua pula tidak semestinya perlu diganti.
Walau bagaimanapun, gigi bertentangan mungkin akan tumbuh melampau kerana tidak ditentang. Ini tidak semestinya terjadi, tetapi doktor pergigian dapat memantaunya melalui pemeriksaan mulut berkala.
Dentur Sebahagian Boleh Tanggal
Gigi palsu boleh tanggal dihubungkan secara padan rapat dan/atau lekatan dan perlu ditanggalkan untuk tujuan pembersihan. Ianya boleh diperbuat daripada logam (contohnya: cobalt-chrome) dan/atau akrilik. Biasanya seseorang itu mengambil masa untuk menyesuaikan diri memakainya.
Jambatan Tetap
Jambatan disimenkan tetap pada gigi asli ataupun pada implant. Gigi bersebelahan bertindak sebagai penyokong jambatan, di mana harus dikecilkan untuk disimenkan tetap. Gigi yang diganti perlu dihubungkan kepada korona yang meliputi gigi bersebelahan.
Implan Pergigian
Implan pergigian adalah gigi palsu jenis tetap dan ‘akarnya’ atau fixture akan bercantum dengan tulang disekitarnya. Ia paling sesuai untuk menggantikan kehilangan satu gigi atau sebagai penyokong kepada jambatan untuk kes kehilangan gigi yang banyak.